November 29, 2010 0 comments

Pengembaraan Ibnu Bathutah Siri ke-2


Pada tanggal 8 Ogos 2010, Persatuan Rakan Intelek telah menganjurkan Pengembaraan Ibnu Batutah Siri ke-2. Melibatkan lebih ramai penyertaan sehingga menyebabkan lebih kuota penyertaan dibuka, program ala-ala explorace ini menjanjikan lebih banyak modul dan aktiviti berbanding dengan siri yang pertama.


Hujan yang tidak putus-putus turun pada sebelah paginya tidak menjejaskan komitmen para peserta bahkan mereka lebih bersemangat untuk menang dan menamatkan pertandingan ini dengan gah dan jayanya.

Program kali ini juga melibatkan di sekitar kawasan Bandar Hilir yang terkenal dengan keindahan monumen-monumen klasiknya dan juga kawasan tumpuan pengunjung untuk membeli belah seperti Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan. Kesempatan ini, disertakan beberapa gelagat peserta untuk kita lihat bersama.


Peserta di beri taklimat ringkas oleh urusetia. Suasana selepas hujan tidak menjejaskan konsentrasi mereka. (Entahla...)

Kawasan penuh bersejarah dipenuhi pengunjung dari merata dunia

Peserta diconteng mukanya dek aktiviti yang agak "radikal"

Urusetia kelihatan sedang berdiskusi dan mereka tampil dengan tema merah menyala

Peserta didedahkan kepada pembinaan softskill apabila diarahkan memberi tazkirah umum kepada semua dan secara tidak langsung menjadi Ustaz dan Ustazah express

November 06, 2010 0 comments

Peperiksaan

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi.  Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:
  • Pertengkaran dengan rakan-rakan;
  • Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;
  • Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan;
  • Bersikap terlalu yakin - "overconfident";
  • Berprasangka buruk terhadap orang lain;
Ramai pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka.  Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat semulajadi mereka.   Apa perasaan anda kalau rakan membohongi anda?  Anda mungkin serta-merta menjadi marah.  Apa berlaku kalau rakan memulau dan mengejek anda?  Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati.  Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku dengan persediaan peperiksaan anda?  Anda pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji.  Ada ketikanya luka dihati berkekalan berhari-hari.
Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda.  Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda.  Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya.  Mereka ada suara, biarkanlah mereka.  Anda cuma pekakkan telinga.  Banyakkan bersikap sabar.  Teruskan sahaja kerja anda.  Kekalkan matlamat peperiksaan anda.  Apabila anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.
Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi.  Tanggapan atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi.  Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif.  Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif.  Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar.  Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.
PERSEDIAAN ROHANI Selain dari persediaan emosi, persediaan rohani juga perlu.  Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah  lah yang menentukannya.  Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.
Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:
  1. Sentiasa bermunajat kepada Allah.  Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan.  Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.
  2. Minta restu kedua ibu bapa.  Doa ibu bapa untuk anaknya sangat makbul.  Jadi mintalah restu dari keduanya.  Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.
  3. Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran.  Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan.  Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-quran.   Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 28, yang mafhumnya "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".
  4. Jauhi maksiat.  Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar.  Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah.  Hidup juga tidak diberkati Allah.
  5. Banyakkan berdoa.  Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.
MENGATASI PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN.
Saya tidak tahu dimana patut bermula.
Jangan panik.  Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan.  Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan.  Tentukan keutamaan tugasan, yang utama didahulukan.  Rancang masa untuk menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya.  Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan.  Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang dibincangkan oleh guru atau pensyarah.  Gunakan masa-masa rehat yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari.  Berikan masa bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran anda.   Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda dengan topik yang senang dahulu.  Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu.  Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar  anda.
Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Buat tinjauan.   Berikan masa untuk anda membuat tinjauan keseluruhan topik.  Kenalpasti topik-topik penting.  Fahami konsep-konsep penting.  Pastikan topik yang anda maih belum faham.  Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu.  Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama.  Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa.  Kalau anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci.
 
Subjek ini cukup membosankan.  Anda rasa jemu dan mengantuk apabila membacanya. 

Belajar secara aktif bukannya pasif.  Gunakan kaedah membaca yang berkesan.  Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan topik yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji.  Pelbagaikan aktiviti ketika belajar.  Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab soalan-soalan.  Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa yang sedang dibaca.  Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran minda.  Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek tersebut dan bincangkan.  

Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya. 

Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah aanda ketahui.  Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:
  •  Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.
  •  Gunakan Teknik Ceraian.
  • Gunakan Teknik Mnemonik.  
  • Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama anda kemana sahaja.  Kerapkan buat imbasan terhadap kad-kad ini.
Anda rasa anda faham apa yang dibaca.  Anda rasa anda telah mengingatinya. 

Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan.  Uji ingatan dan pengetahuan anda.  Jawab soalan-soalan dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya.   

Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat. 

Penyusunan maklumat.  Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik.  Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:
  • Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya.  Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut.
  • Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada.  Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan).
  • Pemetaan maklumat.  Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan.  Misalnya, kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang  semua negara yang terlibat.  Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut.  Anda mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka.
Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa? 

Sering buat imbasan.  Kajian menunjukkan bahawa sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam masa 24 jam.  Oleh itu anda perlu merancang satu strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini.  
Pastikan setiap apa yang anda baca telah diringkaskan.  Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan olehnya.  Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua atau tiga patah perkataan.  Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas anda ini.  Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami.  Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah mampu memanggil semula maklumat tersebut.  Sekiranya tidak, semak semula sekali imbas teks asal.  Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan anda.  Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa.  Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.  
 
Anda suka belajar disaat-saat akhir. 

Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat akhir,  sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga.  Pendapat di atas adalah tidak benar.  Anda perlu belajar seawal mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab.  Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk bertanya pada guru dan rakan-rakan.   Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan.  Lagi kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya.  Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang.  Mulakan sedikit dahulu.  Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh

sumber: http://www.laman-map.com/e-Majalah/

Note of Incoming Event:

 
;