March 04, 2011 0 comments

Baru!!! FB di dalam WEB Rakan Intelek

Kini anda boleh "Comment" menggunakan akaun FB anda di WEB Rakan Intelek
Klik pada menu "Komen FB" di atas
March 02, 2011 1 comments

Kuasa Cinta! !!!

Rasulullah SAW bersabda : "Cintailah siapa yang ada di bumi supaya kamu akan dicintai oleh makhluk yang berada di langit " (Riwayat Tabrani)

Cinta Menyintai Atas Keimanan dan Ketaqwaan
Rasulullah SAW bersabda:Kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mereka berkata : "Kami semua pengasih" Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya bukanlah mengasihi seorang sahabatnya sahaja, akan tetapi membawa rahmat kepada manusia, mengasihi semua manusia". (Riwayat Tabrani)

"Kata pujangga cinta letaknya di hati. Meskipun tersembunyi, namun getarannya nampak sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekali gus memberi kesan kepada tindakan. Sungguh, cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat. Cinta mampu melembutkan besi, menghancurkan batu karang, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat hamba menjadi pemimpin. Inilah dahsyatnya cinta!" (Jalaluddin Rumi).

 
Cinta Yang Terutama

 
Alangkah indahnya Islam! Di dalamnya ada syariat yang mengatur bagaimana seharusnya manusia mengelola perasaan cintanya, sehingga menghasilkan
cinta yang lebih dalam, lebih murni, dan lebih abadi.Islam mengajarkan bahawa seluruh kuasa cinta manusia harus dipupuk menuju pada Allah Yang Maha Pencipta, sehingga cinta kepada-Nya jauh melebihi cinta pada sesama makhluk. Justeru, cinta pada sesama makhluk dicurahkan semata-mata karena mencintai-Nya.
Asasnya adalah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 165,

 'Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil selain Allah untuk dicintainya; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Sedangkan orang-orang yang beriman amat dalam(taat) cintanya kepada Allah.'

Islam mengajar manusia tentang pengurusan cinta, iaitu bagaimana manusia seharusnya menyusun skala prioriti cintanya. Urutan tertinggi perasaan cinta adalah kepada Allah SWT, kemudian kepada Rasul-Nya . Cinta pada sesama makhluk diuruskan sesuai dengan firman-Nya iaitu kedua orang ibu-bapa, kaum kerabat , anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sekerja, ibnu sabil dan hamba sahaya. Sedangkan harta, tempat tinggal, dan kekuasaan juga mendapat posisi untuk dicintai pada tempat yang lebih rendah . Maha Suci Allah, Allah Maha Hebat!
Perasaan cinta adalah abstrak. Namun perasaan cinta mampu diwujudkan dengan tindakan yang nampak oleh mata.

Di antara tanda-tanda cinta seseorang kepada Allah SWT adalah memperbanyakkan bermunajat, mendirikan solat sunnah,membaca al-Quran dan berzikir kerena dia ingin selalu bersama dan mencurahkan semua perasaan hanya kepada-Nya. Apabila Sang Khaliq memanggilnya melalui suara azan maka dia bersegera menuju ke tempat solat untuk berjumpa dengan-Nya. Bahkan bila malam tiba, dia ikhlas bangun tidur untuk berduaan (berkhalwat) dengan Tuhan kekasihnya melalui solat tahajjud. Betapa indahnya jalinan cinta itu!

Ini dapat dilihat daripada kata-kata di bawah:
"Seseorang tidak akan memiliki kebaikan, meraih kemenangan, merasakan kenikmatan dan kesenangan hakiki kecuali mengesakan cintanya kepada Allah SWT semata, dan Allah lebih dicintainya daripada yang lainnya" ( Ibnu Qayyim al-Jauziah)

Cinta Allah Cinta Rasululllah

Yakinlah wahai saudaraku, kesenangan dan kesusahan adalah bentuk kasih sayang dan cinta Allah kepada hambanya yang beriman. Kesusahan yang diberi Allah adalah tarbiyah terhadap ruhiyah kita daripada Allah SWT, agar kita sedar bahwa kita sebagai makhluk adalah bersifat lemah, kita tidak mampu berbuat apa-apa pun kecuali atas izin-Nya. Akhirnya tinggal bagi kita membuktikan, dan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan cinta kita pada Allah, agar kita terhindar daripada cinta palsu.Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan hambanya yang betul-betul berkorban untuk-Nya.

Untuk membuktikan cinta kita pada Allah, ada beberapa perkara yang perlu kita persiapkan iaitu iman yang kuat, ikhlas dalam beramal, berusaha bersungguh sungguh untuk melaksanakan ibadah wajib dan sunah, seperti qiyamullail, puasa sunnah, membaca al-Quran dan menuntut ilmu. Buah daripada ibadah yang kita lakukan pada Allah, dengan keistiqamahan mengamalkannya dalam setiap hembusan nafas dan langkah hidup ini, Insta-Allah kita akan dapat menggapai cinta dan keredhaan-Nya.Cinta dan kasih sayang membawa kepada kebahagiaan. Isteri menyayangi suami, ibu bapa menyayangi anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa, jiran-jiran menyayangi jirannya, maka hasilnya masyarakat akan hidup dengan berkasih sayang dan dunia pun akan aman dan damai.

Cinta Terulung

Sungguh merugikan apabila manusia hanya diletihkan oleh cinta dunia, mengejar cinta makhluk, memburu harta dengan segala cara, dan tidak mahu membantu orang yang memerlukan pertolongan. Sedangkan nasib di akhirat nanti adalah ditentukan oleh amalannya ketika hidup di dunia, Bersungguh-sungguh mencintai Allah, atau terlena oleh dunia yang fana ini. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang mampu membuktikan cintanya yang sejati kepada Allah SWT.

Kata-kata yang tepat untuk itu seperti di bawah:
'Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu.' {Imam Nawawi)

Faktor kuasa cinta adalah KOMUNIKASI. Tidak ada lain lagi selain komunikasilah yang menentukan turun naiknya kuasa cinta. Bacalah betapa hebatnya komunikasi yang dikatakan faktor kuasa cinta di sini. Kerana itu orang yang sentiasa berkomunikasi akan lebih mesra, akan terlahirnya cinta. Allah menjadikan perasaan cinta sesama manusia agar manusia memahami cinta dan faktor kuasa cinta. Apabila manusia memahaminya, maka sudah pasti manusia akan lebih mudah untuk bercinta dengan Pemiliknya iaitu Allah.
Komunikasilah sentiasa dengan Allah kerana komunikasi merupakan faktor kuasa cinta. Lebih banyak komunikasi, lebih hangat cinta kepada Allah. Lebih hebat cinta kepada Allah. Lebih mendalam cinta kepada Allah. Dengan komunikasi, jiwa lebih tenteram kerana cinta tidak dihalang. Komunikasi dengan Allah lebih menenangkan jiwa kerana segala masalah dikongsi dan diluahkan kepada Yang Tersayang iaitu Allah.

Ingatlah bahawa TIDAK ADA SELAIN ALLAH YANG DAPAT MEMBAHAGIAKAN DIRI KITA. Komunikasilah sentiasa dengan Allah kerana segala-galanya tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Komunikasilah dengan Allah apa saja yang difikirkan, dilihat, didengar dan dilakukan. Sentiasa Ingat dan Sebut Nama Allah.

Kerana rasa Cintalah iLuvislam ditubuhkan, Cintakan Allah Swt, Cintakan Rasulullah Saw, Cinta sesama saudara dan Cinta sesama insan.

Text Asal :  Halaqah.net & Fuadlatif
1 comments

Adab Menuntut Ilmu


Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau:

"Aku memperlajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu" [Mansuah al Adab al Islamiah : 15]

Pada pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'. Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.

Dalil Menuntut Ilmu
Dalam Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." [At Taubah 9 : 122]

Dan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" [HR Bukhari dan Muslim]


Adab Menuntut Ilmu
01.Niat yang ikhlas

Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]
Niat itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam hati tiap-tiap manusia.

02.Beradab dengan orang yang memberi ilmu

Imam Syafie pernah bekata:
"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]
Pada pendapat saya dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa dengan pensyarah.

03.Bersabar dalam menuntut ilmu

Imam Syafie pernah berkata:
"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237

04. Tulis setiap yang dipelajari

Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu Hurairah berkata: 
"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]

05.Rendah diri

Imam Ahmad bin Hambal berkata:
"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274]

06.Menjahui dari kenyang yang berlebihan

Ibn Jama'ah berkata:
"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222]

07.Tidur yang sedikit

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]

08.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam." [HR Bukhari dan Muslim]

PENUTUP:
Tiada adab yang lebih sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah SAW dan adab mereka yang segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat), generasi setelahnya (tabi'in) kemudian setelahnya (tabi' tabi'in).
Saya menasihati para pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk menuntut ilmu agama, seharusnya memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Namun adab-adab tersebut seharusnya jangan terlalu 'fanatik' sehinggakan memperbetulkan apa yang salah dari mereka yang kita hormati. Manakah yang kalian lebih cintai sama ada pemberi ilmu atau kebenaran? Dan kebenaran itu juga seharusnya dengan ilmu.
Hanya ilmu yang layak untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al Quran, as Sunnah dan sunnah Khulafa' al Rasyidin seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalanku nanti, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu wajib bagi kalian untuk berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al Khulafa al Rasyidin yang terbina dan terbimbing. Berpeganglah erat-erat denganya dan gigitlah ia dengan gigi gerham." [HR Abu Daud, at Tarmidzi dan lain-lain]

Note of Incoming Event:

 
;